Daripada Salman al Farisi ra berkata: Pada hari terakhir bulan Sya`ban Rasulullah s.a.w telah berkhutbah kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud:
Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah dinaungi oleh bulan yang agung dan bulan yang penuh berkat. Bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa padanya (Ramadhan) satu kefardhuan dan melakukan qiam di malamnya sebagai amalan sunat.
Sesiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardu. Dan sesiapa yang melakukan satu amalan fardu, maka baginya ganjaran seumpama melakukan tujuh puluh amalan fardu.
Ramadhan adalah bulan kesabaran dan sabar ganjarannya adalah syurga.
Ramadhan juga adalah bulan saling tolong-menolong dan bulan di mana akan ditambah rezki orang-orang Mukmin. Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau sedikit pun.? Kami bertanya: Wahai Rasulullah, tidak semua di kalangan kami yang memiliki sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa? Lalu baginda s.a.w menjawab: ?Allah akan menganugerahi ganjaran pahala tersebut kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (walau) dengan seteguk susu, tamar ataupun air. Sesiapa memberi makan sehingga kenyang kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum dengan air telagaku di mana orang yang meminumnya tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.
Ramadhan adalah bulan di mana awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka.
Sesiapa memberi keringanan kepada hamba-sahayanya di bulan ini, maka Allah akan mengampunkan dosanya dan akan menyelamatkannya dari api neraka.
Justeru hendaklah kamu banyak melakukan empat perkara berikut: Dua daripadanya akan membuatkan Allah redha terhadap mereka yang melakukannya sementara dua perkara lagi adalah suatu yang sangat perlu bagi kamu. Dua perkara yang menjadikan Allah redha terhadap pelakunya ialah mengucap dua kalimah syahadah dan memohon keampunan kepadaNya. Sementara dua perkara yang sangat diperlukan itu ialah memohon kepada Allah syurga dan berlindung kepadaNya daripada api neraka.
Perkara Yang Disunatkan Bagi Orang Yang Berpuasa
1. Segera berbuka apabila benar-benar diyakini bahawa matahari telahpun terbenam dan sebelum menunaikan sembahyang Maghrib.
2. Membaca doa yang ma`thur ketika berbuka:
اللهُمَّ لَكَ صُمتُ وعَلىَ ِرزْقِكَ أَفْطَرْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ, وَبِكَ آمَنْتُذَهَبَ الظَّمْأُ وَابْتَلَتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ اْلأَجْرُ, يَا وَاسِعَ الْفَضْلِ اِغْفِرْ لِي,الْحَمْدُ ِللهِ الَّذي أَعَانَنِي فَصُمْتُ وَرَزَقَنِي فَأَفْطَرْتُ .
Maksudnya: ?Ya Allah untukMu aku berpuasa, di atas rezkiMu aku berbuka, kepadaMu aku bertawakal dan? denganMu aku beriman. Telah berlalu pergi dahaga dan basah sudah urat-urat dan telah nyatalah ganjaran pahala. Wahai Yang Maha Luas anugerahnya, ampunilah kesalahanku. Segala pujian bagi Tuhan yang telah membantuku sehingga aku dapat berpuasa dan yang telah memberi kepadaku rezki sehingga aku dapat berbuka?.
3. Bersahur walaupun sedikit atau dengan seteguk air. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
" تَسَحَّرُوا فَإنَّ فِي السّحوِر بَرَكَةً "
Maksudnya: Bersahurlah kamu sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.?
Melewatkan sahur - selagi tidak membawa sehingga terbitnya fajar - adalah lebih baik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: yang bermaksud: Tinggalkan segala perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.
4. Menahan lidah daripada kata-kata yang tidak bermanfaat. Adapun menahan lidah daripada perkara yang haram seperti mengumpat, mengadu domba dan yang seumpamanya adalah wajib dalam setiap masa dan ketika terutamanya di bulan Ramadhan.
5. Memperbanyakkan sedekah dan berbuat kebaikan kepada sanak saudara serta fakir miskin.
6. Membaca al Quran, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w setiap kali berpeluang tidak kira malam atau siang.
7. I`tikaf di masjid dan menyibukkan diri dengan menuntut ilmu.
0 comments:
Post a Comment