Dalam jangkamasa yang penuh debaran dan kerisauan ini, apa kata kalau kita redakan hati yang gelisah ini dengan kembali ke belakang meninjau sejenak tentang tarbiah atau didikan Allah yang terkandung dalam situasi yang sedang kita hadapi sekarang ini. Sesungguhnya kalau difikirkan dengan penuh kesedaran, terdapat satu pengajaran yang begitu bernilai sekali buat diri kita. Ada banyak persamaan dengan kehidupan seorang pelajar yang bermula dengan pembelajarannya sehinggalah kemasa-masa menunggu keputusan peperiksaannya dengan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Mari kita tinjau period-period penting ini satu persatu.
Ilmu. Itulah yang dicari dan dipelajari oleh seorang manusia. Ilmu dicari walau dimana sekali pun. Bagi mereka yang berada di universiti, keinginan untuk mendapatkan segulung ijazah telah membuatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka. Tidak ada orang yang mendaftar ke universiti dengan niat untuk mendapat kegagalan. Dan sudah menjadi lumrah dunia universiti, sebelum ijazah digenggam ditangan, satu ujian perlu dilalui. Ujian tersebut selalunya terbahagi kepada 2 iaitu internal assessment dan final exam. Menyedari hal ini, ada yang sedari mula lagi telah bersedia mengulangkaji pelajaran bagi memastikan ujian peperiksaan yang bakal dihadapi itu dapat dilalui dengan baik. Namun ada juga yang sudah menjadi kebiasaan mereka mengamalkan last minute study. Yang paling malang ialah mereka yang lalai sehinggakan tidak bersedia langsung dalam menghadapi ujian tersebut yang akhirnya membawa ke arah kegagalan.
Begitu jugalah persamaannya dengan kehidupan dunia ini. Bagi mereka yang beriman tentang wujudnya syurga dan neraka sudah semestinya menginginkan kenikmatan syurga dan menolak siksaan neraka. Fitrah manusia mengkehendaki sesuatu yang indah yang dalam hal ini dapatlah disamakan Syurga itu dengan Ijazah tersebut. Namun seperti juga halnya ijazah , syurga yang diidam-idamkan perlu dibayar dengan beberapa siri ujian. Internal assessment dalam hal ini merupakan siri-siri ujian yang kita hadapi dalam kehidupan dunia ini sebelum hadir dan tibanya final exam iaitu MATI.
Semenjak manusia "mendaftarkan" diri di University of Life ini, maka mereka akan diuji dengan kesusahan, kemiskinan, dan ketakutan. Kenikmatan dunia ini juga merupakan Internal Assessment buat diri manusia. Setiap masa dan ketika, ujian-ujian ini akan melewati kehidupan manusia tanpa henti-henti sebagai satu rahmat dari Allah untuk memastikan bahawa, adakah diri kita sudah benar-benar bersedia untuk menghadapi final exam bagi semester kehidupan ini. Justeru itu, dengan adanya Internal Assessment ini, maka mahu tidak mahu kita harus setiap masa bersiap sedia dengan ilmu, iman dan amal. Seperti halnya para pelajar yang harus sentiasa mengulangkaji pelajaran mereka supaya dapat memperolehi markah yang baik untuk Internal Assessment seterusnya memantapkan diri mereka bagi menghadapi final exam iaitu peperiksaan hujung semester
Sudah menjadi sunnatullah, hanya mereka yang sudah bersedia sahaja yang dapat menjalani ujian peperiksaan dengan mudah. Begitu jugalah dengan diri manusia, sekiranya sepanjang mereka berada di University of Life ini, mereka mempersiapkan diri dengan bekalan iman dan taqwa, maka apabila final exam atau maut itu tiba, dengan mudah mereka laluinya bersama iman menjadi temannya.
Kembali kita ke saat ini, di mana para pelajar sedang menanti dengan penuh debaran akan keputusan peperiksaan mereka. Kerisauan merayap, kegelisahan melanda. Di kala ini mereka seperti kata pepatah; tidur tak lena, makan tak kenyang dan mandi tak basah. Apakah aku akan lulus? Bagaimana kalau aku gagal? Soalan demi soalan berlegar di fikiran, namun jawapan tidak ketemu selagi keputusan ujian belum terpapar di papan kenyataan. Begitulah hakikatnya manusia setelah dikumpulkan di padang Mahsyar. Mereka terpingga-pingga kebingungan. Mereka dilanda keresahan dan diselubungi kegelisahan akibat khuatir tentang nasib diri mereka. Apakah aku lulus dalam ujian semasa aku berada di atas pentas University of Life? Atau kegagalankah yang bakal aku terima? Soalan demi soalan menghantui setiap insan di padang yang kontang itu. Benarlah, penantian itu satu penyiksaan. Tersiksa jiwa manusia diburu ketakutan yang amat sangat kerana di saat itu mereka sedar, jika kejayaan menjadi keputusan, maka ijazah taman Syurga pasti akan dianugerahkan oleh Chancellor Agong di hari konvokesyen alam Mahsyar. Sebaliknya kalau kegagalanlah yang diperolehi , maka terhinalah mereka di hari konvokesyen itu. Terhalau ke neraka sebagai balasan atas kelalaian mereka semasa bermaustatin di University of Life.
1 comments:
petua cemerlang dalam peperiksaan..
memang kalu kita semua buat ni Insyaallah cemerlang tak perlu buat perkara yang lain iaitu jawab apa yang ditanya dan bukan jaewab apa yg kita tahu...
Post a Comment