“Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu”
Satu ayat muhasabah yang amat menusuk qalbu ana untuk menginsafi diri sendiri. Kita mahukan sebuah negara yang Islami, tapi di mana penglibatan kita ke arah pembentukan tersebut.
Setiap gerak langkah dan percaturan hidup yang kita jalani, pernahkah kita terfikir untuk Islam. Kita sebagai “role model” kepada insan-insan sekeliling kita. Kita sebagai pembimbing kepada rakan-rakan dan teman kita. Kita adalah orang yang akan menjadi tempat bertanya samaada berkaitan ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah. Kita berkorban harta, masa dan tenaga kerana untuk kebaikan dan manfaat untuk Islam.
Kita itu termasuklah ana yang mencoretkan kalam ini. Terbaca kata-kata di atas, ana terfikir, sejauh manakah ana telah melakukan kewajipan sebagai seorang muslimah. Sebanyak manakah amalan ana untuk menegakkan Islam di dalam diri ana sendiri. Ana tertanya-tanya pada diri, adakah amalanku berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah? Perlakuanku, percakapanku, adakah mencerminkan seorang muslimah sejati? Adakah sifat-sifat mazmumah dan ciri-ciri munafiq semakin bersarang dalam diriku? Adakah aku telah mencuba menyucikan karat-karat ini? Aku hanya manusia, seringkali jua diri ini terbabas dari landasan yang digariskanNya.
Kita insan. Kita sering lupa, disebabkan itulah kita perlu ditarbiyah dan mentarbiyah. Pergaulan dengan sahabiah-sahabiah yang mempunyai akhlak yang mulia, memdidik hati kita menjadi muslimah solehah. Sebelum kita mendapat sahabat yang berakhlak mulia, kitalah yang perlu menjadi sahabat yang berakhlak mulia terlebih dahulu (Bukankah sahabat kita itu cerminan diri kita?). Semuanya saling lengkap melengkapi. Sebuah persahabatan berlandaskan Aqidah Islam, bukannya kerana hartanya atau keturunannya atau jawatannya kita bersahabat dengannya. Berserilah hidup ini jika memperolehi sahabat-sahabat yang digariskan oleh agama untuk kita bersahabat. Sahabat yang akan menunjuki dan menyokong kita dalam setiap perjalanan hidup kita. Bahagianya hidup ini… Thanks sahabat-sahabatku yang selalu menyeri hidupku ini(hari nie sempat berkelah di pantai bersama Iman, Balqis, Zujlah – 8.00am Friday 060209).
Kita perlu memulakan sesuatu jika kita mahu orang lain melakukannya. Tajuk muhasabah sahabatku Iman pagi nie “Cakap dan amal” (tazkirah pagi Jumaat bersama sahabiah Iman, Balqis, Zujlah, Qurratul A’yun and Su). Setiap yang diberitahu kepada orang lain, tanpa amalan dari kita terlebih dahulu, akan memberi kesan yang sia-sia kepada pendengarnya. Ingatlah “Tegakkanlah Negara Islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu". Ana selalu juga mengingatkan diri ini dengan mutiara kata ini " kita lupa apa yang kita dengar, kita ingat apa yang kita lihat, kita faham apa yang kita amal"
Akhir kalam buat kali ini, jadilah kita seorang insan yang beramal dengan setiap percakapan yang kita ucapkan. Mulakan dulu, tegakkan Islam dalam diri kita, serlahkan dalam setiap amalan kita, seterusnya kita mengajak orang lain ke arah tegakkan Islam dalam diri mereka. Jika kita dapat merubah diri kita dari satu tahap yang rendah kepada yang lebih baik, walaupun bukan 100% berubah, anggaplah ia sebagai KEJAYAAN buat kita!!! Bersyukurlah kepadaNya.
2 comments:
cantiklah...setuju sangat.tegakkan islam dalam diri dulu.percubaan pertama tak berjaya kita cuba kali kedua.InsyaAllah.
P/s:ada hikmah dari sikap katak haha.........
"Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tingga daripadanya"
Post a Comment