Saban tahun apabila hampir 10 Zulhijjah menjelang, manusia serata pelusuk dunia akan pergi menunaikan haji di Mekah Al-Mukarramah. Lautan manusia menyahut seruan Ilahi bagi memenuhi rukun Islam yang kelima. Tentu sekali jika tiada air disana, bagaimanakah manusia akan dapat menjalankan ibadat Haji dengan sempurna. Dengan itu Allah SWT telah mengurniakan kita semua dengan air yang mana airnya tidak habis-habis walaupun berjuta-juta manusia mengambilnya. Itulah ia ”AIR ZAM-ZAM”. Kita tidak pernah dikhabarkan mengenai jemaah Haji kekurangan air walaupun lautan manusia berkumpul di sana. Bahkan airnya mampu dibawa pulang oleh semua jemaah Haji. Itulah ajaibnya air Zam-Zam. Pastinya ia merupakan kurniaan oleh Allah SWT. Bagaimana telaga Zam-Zam ini terjadi? Jom sama-sama kita soroti kembali sirah nabi mengenai air Zam-Zam....


Setelah sekian lama Nabi Ibrahim dan isterinya berkahwin mereka tidak dikurniakan anak oleh Allah SWT. Maka suatu hari isteri Nabi Ibrahim (Sarah) telah mencadangkan agar Nabi Ibrahim berkahwin lagi. Memandangkan usianya yang semakin tua akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju berkahwin dengan khadamnya yang bernama Hajar. Dengan perkahwinan itu, akhirnya Hajar hamil dan melahirkan seorang anak lelaki yang bersih lagi suci dan diberi nama Ismail (Nabi Ismail).


Dengan lahirnya Nabi Ismail maka suasana rumahtangga Nabi Ibrahim mengalami suasana perubahan, yang mana selama ini Nabi Ibrahim mengharapkan agar cita-citanya untuk memperolehi anak telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Sarah juga adalah antara orang yang paling gembira dengan kelahiran Nabi Ismail. Setelah sekian lama berlalu, timbullah rasa kurang senang di hati Sarah yang mana akhirnya dia terpaksa meluahkan isi hatinya kepada Nabi Ibrahim, Sarah juga meminta supaya Hajar dan Nabi Ismail dibawa jauh dari pandangan matanya dan dengan wahyu Ilahi Nabi Ibrahim setuju dengan cadangan Sarah.


Kemudian bermulalah perjalanan yang jauh di antara Nabi Ibrahim dan Hajar beserta anaknya Nabi Ismail. Perjalanan mereka tiada tujuan, lama mereka berjalan akhirnya mereka berhenti di suatu tempat. Dan ditempat itulah Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar bersama anaknya Nabi Ismail, disertakan dengan makanan yang banyak untuk mereka berdua. Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT menjaga anak dan isterinya dari segala bahaya dan malapetaka.


Belum sempat Nabi Ibrahim hendak meninggalkan isterinya dan anaknya, Hajar dengan segera mengikuti dari belakang sambil memegang tali unta yang dikenderai oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: ”Ya Ibrahim! Kemanakah kamu hendak pergi dan kenapa kamu meninggalkan kami disini, dan ditempat yang menakutkan?”. Hajar berharap Nabi Ibrahim akan menaruh kasihan terhadap dirinya dan anaknya, minta dipertanggungjawabkan kepada Nabi Ibrahim. Siapakah yang akan menjaga kehidupannya dari bahaya kelaparan dan dahaga. Siapakah yang akan menjaganya dari serangan binatang-binatang buas, dari terikan panas matahari, dan kesejukan pada malam hari. Semua itu dikemukakan kepada Nabi Ibrahim dengan kata-kata yang manis dan lemah-lembut dan disertai dengan cucuran air mata. Akhirnya Nabi Ibrahim pun memberitahu Hajar bahawa semua ini adalah atas kehendak Allah SWT. Nabi Ibrahim pun menasihatkan agar Hajar sabar menerima takdir di atas setiap perintah Allah SWT. Dan supaya dia tunduk dan patuh menurutkan semua perintah dan anjuran itu.


Setelah Hajar mendengar jawapan dari Nabi Ibrahim maka dia pun berkata:”Sekarang aku mengerti dan Allah SWT sama sekali tidak akan mensia-siakan kami”. Apabila Nabi Ibrahim mendengar keputusan isterinya maka dia pun meninggalkan anak dan isterinya menuju ke destinasinya mengharungi padang pasir yang sangat berbahaya, mendaki bukit menurun bukit, melintasi beribu macam kesukaran dengan meniggalkan anak dan isterinya yang menjadi rangkaian hati dan jantungnya sendiri, semata-mata kerana Allah SWT. Tambahan pula Nabi Ibrahim tidak membawa apa-apa bekalan selain kepercayaan dan ketaatan kepada Allah SWT semata-mata.


Dikisahkan dalam satu riwayat bahawa tempat Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan anaknya Nabi Ismail ialah di padang pasir tandus, tidak ada manusia yang menghuni di situ. Hajar menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT semata-mata. Duduklah Hajar bersama anaknya dengan memakan makanan yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim. Seterlah sekian lama maka habislah semua bekalan makanan, Hajar dan anaknya mula merasai lapar, kelaparan yang amat sangat dan satu penderitaan yang tidak pernah dirasai oleh mana-mana manusia. Hajar sangat risau memikirkan anaknya yang memerlukan susu, keadaan padang pasir dengan terikan matahari yang sangat panas mengeringkan lagi kerongkong Hajar dan anaknya. Kerana lapar yang sangat anaknya mula menangis dengan kuat dan kekuatan tangisannya berkurangan disebabkan tidak terdaya, sebab letih dan lesu.


Melihat keadaan anaknya yang semakin tenat, maka Hajar pun meninggalkan anaknya dan keluar mencari air, sekejap Hajar pergi mencari air dia kembali melihat anaknya, kemudian pergi lagi mencari air dan kembali melihat anaknya, demikianlah hal Hajar. Tempat menjadi ulang alik Hajar itulah sekarang disebut Shafa dan Marwa. Setiap kali Hajar kembali melihat anaknya, dia akan melihat seolah-olah ada tanda-tanda air di Shafa dan dia berkejar ke Shafa tapi tidak ada air di situ dan kembali melihat anaknya, dari tempat anaknya Hajar melihat seolah-olah ada tanda-tanda air di Marwa, dia berkejar ke sana tapi tiada juga air. Demikianlah Hajar berulang alik di antara Shafa dan Marwa sebanyak tujuh kali. Dan hal inilah adanya ibadat haji disyariatkan, yakni ibadat Sa’i.


Diriwayatkan dalam keadaan Hajar tidak berdaya dan hampir berputus asa, kecuali dari rahmat Allah SWT dan pertolonganNya. maka datanglah malaikat Jibrail bertanya: ”Siapakah sebenarnya kamu ini?”. ”Aku adalah hamba sahaya Nabi Ibrahim”. Ujar Hajar. Malaikat Jibrail bertanya lagi: ”Kepada siapakah engkau harapkan disini?”. ”Hanya kepada Allah SWT , jawab Hajar”. Berkata malaikat Jibrail:” Kalau begitu engkau telah mengharapkan kepada Zat yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu”. Kemudian malaikat Jibrail mengajak Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat, dimana malaikat Jibrail menginjakkan telapak kakinya keras-keras di atas tanah dan dengan segera keluarlah air tanpa henti-henti dari bekas tapak kaki itu dan airnya pula sangat jernih dengan kuasa Allah SWT. Itulah air yang disebut ”air Zam-zam”.


Hajar sangat gembira melihat air itu, dengan segera dia membasahkan bibir Nabi Ismail dan dengan segera Nabi Ismail segar kembali.


SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI

1 comments:

tok pulai chondong said...

Hebatnya kurniaan Allah kpd makhluknya...Dalam cerita ni Sarah cemburu dgn Hajar. Maksudnya cemburupun dibenarkan dalam Islam..tetpi bukan cemburu buta..