Malu ertinya dari segi bahasa adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif . Maka sifat malu itu sendiri adalah sifat yang mulia dan terpuji jika difahami secara benar maksud dan tatacaranya. Dari malu akan seseorang dari keadaan hina dina dan meletakkan seseorang di dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif sahaja. Perasaan ini dapat mengatasi seseorang melakukan hal-hal kemaksiatan, kerana seseorang itu akan berperasaan; “ Bahawasanya saya adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan saya lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”.

Asal usul kalimat hayaatun (kehidupan) berasal dari kata hayaa’un (malu). Kamus lisan arab merujuk (istahyu rajulun) – kuatnya denyut kehidupan dalam jiwa seorang lelaki. Maka difahami dari frasa ini ialah dia malu untuk bersangkut-paut dalam hal-hal kehinaan kerana hati nuraninya tidak mahu melakukan hal-hal yang berakibat negative.

Maka difahami perasaan malu (al-haya’) berkait rapat dengan kehidupan itu sendiri dan membawa makna dan rahsia kehidupan itu. Maka seseorang yang tidak mempunyai sifat malu maka dia bukanlah hidup sebenarnya, tapi sudah mati atau hampir mati keadaannya.

Perbezaan malu (al-haya’) dan tersipu (al-jahalu)Malu yang kita fahami bukanlah malu tersipu-sipu tidak pada tempatnya kerana malu yang kita bincangkan ini adalah sesuatu perasaan yang lebih besar maknanya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga gagap dan takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah keperibadiannya. Akan tetapi al-haya (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadiannya lantaran kuatnya dia dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Sungguh terdapat kekeliruan dalam dua istilah ini yang sering dicampur-baurkan.

Sekilas Dalil-dalilRasulullah saw bersabda; “ Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)
Hadith yang lain menyebut; “Cabang iman itu 63 bahagian. Yang tertinggi adalah mengucapkan Lailaha illa Allah. Bahagian terendah adalah membuang rintangan dijalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.”(Abu Dawud:4676)
Lihatlah penting sifat malu hingga ia sebenarnya berkait rapat dengan keimanan. Maka lihatlah dimana sifat malu kita dan muhasabahlah. Kebanyakan kita tidak tahu malu sebenarnya.

Muara akhlak ialah malu
Rasulullah saw bersabda,
“Malu itu mengandungi kebaikan” (Muslim:156, Abu Dawud:4796)
“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.” (Bukhari:5766, Muslim:155)
“Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya disyurga sedangkan buruk akhlak itu sebahagian dari kekerasan hati dan tempatnya dineraka. (Tirmizi:2009)
“Malu dan iman keduanya tidak boleh dipisahkan. Jika satunya terangkat maka yang lain jua turut terangkat.”(Musnad al-Hakim, 1:22)

Jika dicabut rasa malu itu maka tunggulah saat kehancuran
Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya maka ia akan menghilangkan rasa malunya, maka jika telah dicabut rasa malunya kamu tidak akan menjumpainya lagi kecuali ia membenci dan dibenci dan dicabutlah rasa amanah darinya. Maka jika dicabut rasa amanah darinya engkau tidak akan menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dan jika engkau tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dicabutlah rasa kasih saying daripadanya. Dan jika kasih saying dicabut darinya maka engkau tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat. Maka dicabutlah keislaman darinya.” (Ibnu Majah:4054)
Subhanallah, awal kehancuran adalah dicabutkan rasa malu. Astaghfirullah, di jalanan kita mendapati terlalu ramai manusia yang sudah hilang sifat malu. Mereka tidak malu dan secara terbuka melakukan kezaliman dan kemaksiatan sedangkan kita yang melihat sendiri yang berasa malu atas perbuatan mereka. Sedang mereka bangga dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perkara yang mereka lakukan.
Bacalah sekali lagi hadith diatas, dan tanyalah diri kita. Adakah kita mempunyai sifat malu……………………..?

Suatu makna yang indah
Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya setiap agama ada akhlak tersendiri dan akhlak Islam adalah malu” (Ibnu Majah:4181)
Hadith tersebut tidak bererti satu-satunya akhlak dalam Islam adalah malu akan tetapi akhlak yang paling sempurna dalam Islam adalah sifat malu. Betapa agungnya malu dalam akhlak Islam!
Hadith yang mempunyai 2 maknaRasulullah saw bersabda;
“Sesungguhnya apa yang diketahui oleh manusia dari sabda kenabian terdahulu ialah; Jika engkau tidak malu maka lakukanlah sesuka hati kamu.” (Bukhari:348, Ibnu Majah:4183)
Bahawa akhlak malu itu dimiliki para Nabi. Oleh itu kita dapat fahami,1)Ancaman, jika tidak malu maka buatlah sesuka hati dan nantikanlah balasan Allah swt.2)Kerja keras tanpa keluh kesah. Jika pekerjaan yang anda lakukan itu tidak tercela maka lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan tulus ikhlas.

Rasulullah saw malu umpama gadis pingitan
Rasa malu Nabi melebihi gadis pingitan. Jika baginda melihat sesuatu yang tidak baginda sukai, maka akan merahlah muka baginda yang mulia itu dan menjauhkan diri dari melihatnya. Apa yang kita lakukan jika kita lihat sesuatu yang tidak elok? Apakah wajah kita akan memerah dan menundukkan pandangan kita? Mulai hari ini kita cerminkanlah diri kita!

Malu Seorang Gadis
Fatimah binti Utbah bin Rabi’ah berjumpa Rasulullah saw kerana ingin masuk Islam. Saat itu Aisyah ra ada bersama baginda.
Nabi saw bersabda;
“Ya Fatimah, berbaiatlah kepadaku. Janganlah engkau menyekutukan Allah sw sedikitpun. Jangan mencuri, apalagi berbuat zina.” (Ahmad: 1/21)
Ketika Fatimah mendengar kata “zina” ia menutupi wajahnya dengan tangannya disebabkan malu. Rasulullah saw berasa hairan dengan sikap Fatimah tersebut lalu Aisyah ra berkata; “Ya Fatimah, berbaiatlah engkau kerana seluruh wanita telah berbaiat tentang hal itu.” Maka Fatimah pun berbaiat.
Mendengar perkataan itu sahaja membuatkannya malu, apatah hal-hal yang lebih dari itu. Dewasa ini pemuda pemudi kita sudah hilang sifat malunya. Gadis juga berperawakan lelaki, bercakap kasar, berkata-kata lucah, menghisap rokok dan sebagainya. Jika gadis-gadis sudah begini bayangkanlah pula pemudanya. Sukar dibayangkan betapa teruknya. Dimanakah wanita seperti Fatimah ini?

Sampai Malaikat pun Malu KepadaNya
Nabi saw bersabda,
Apakah saya tidak malu terhadap Utsman? Sedangkan malaikat pun malu padanya! (Muslim:6159, Ahmad:VI/62)
Adakah diantara kita yang mempunyai seperempat atau sepersepuluh dari rasa malu Utsman? Diriwayatkan Utsman menikahi seorang gadis dan apabila dia meninggal dunia, isterinya itu ditanya mengapa dia tidak mahu menikah lagi sedangkan dia masih muda. Dia menjawab,” Sungguh aku tidak akan menjumpai orang yang selembut Utsman sebagai suamiku.”
Wanita itu berjalan malu-maluFirman Allah swt dalam al-Quran ketika menggambarkan wanita anak Nabi Syuaib berjumpa Musa as;
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan, ia berkata: “Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami.” (al-Qashash:25)Renungilah ayat ini dan bacalah sekelian kalinya hingga kita berfikir mengapa begitu lengkap dan sempurna pernyataan Allah dalam menguraikan bagaimana anak Nabi Allah Syuaib tatacaranya berjalan? Seolah-olah kita merasakan bahawa perkataanya jua gaya jalannya menunjukkan rasa malunya. Seluruh badannya menunjuk rasa malu yang agung, menjaga kehormatan diri dan maruah wanita dan jua manusia seluruhnya. Sesungguhnya rasa malu bagi wanita itu adalah perisai tak tertembusi oleh manusia lain, andai saja dia pandai menjaga perisai malunya. Tuntutan rasa malu kepada wanita adalah fitrah kerana wanita itu sendiri lembut dan sopan melebihi lelaki.
Adalah dikesalkan pada zaman ini kita sudah ketandusan generasi sebegini. Namun disebalik redup ketandusan ini, Allah tidak menghilangkan golongan yang masih mempunyai harga diri. Masih terdapat yang memelihara aurat mereka dengan sempurna, menjaga pergaulan bebas, bersifat malu selayaknya wanita. Umpama mutiara sempurna tersusun rapi didalam bekas yang terjaga. Biarpun berdepan arus globalisasi dan modernisasi yang kuat mengfitnah, insya Allah yang memberi ketenangan pada hambaNya yang soleh dan solehah. Arus feminisme dan emansipasi wanita jua turut memberikan tekanan, yang melaungkan kebebasan yang superficial kerana hakikatnya mereka mengeluarkan diri dari keistimewaan dan darjat tinggi yang telah diberikan Islam. Hasilnya wanita yang bersikap tidak senonoh, menghina diri untuk menarik perhatian orang lain khususnya lelaki, dan hilang sifat kewanitaan. Musuh Islam sangat gembira dengan hakikat ini kerana tidak cukup dengan wanita Eropah untuk dirosakkan, wanita di Timur khususnya wanita Islam menjadi matlamatnya.
Tegakkanlah rasa al-haya dalam diri kita. Itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak terbanding dengan apa yang ada pada dunia dan seisinya.
Wallahu al-Musta’an.
Oleh: ameersyuhadaRujukan: Semulia Akhlak Nabi (Amru Khalid)

0 comments: